Thursday, September 28, 2006

Ternakan Ikan keli1

UMUMNYA pemeliharaan atau ternakan ikan keli yang diusahakan secara terbuka dan lepas bebas seperti di kawasan petak sawah padi yang luas, jarang dapat ditemui di negara ini.

Kebanyakannya dipelihara di kawasan khas yang disediakan seperti kolam atau kolah yang lebih terkawal dan memerlukan penjagaan rapi.

Bagi mereka yang menternak untuk tujuan komersial, pastinya penggunaan kaedah pengurusan lebih moden dari segi sains dan teknologi, tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, berlainan halnya dengan enam penduduk di Kampung Pengkalan Gong, Pulau Chondong, Machang, Kelantan apabila mereka memilih menternak ikan keli dari jenis bunga dan lembut di kawasan terbuka dengan mengamalkan kaedah tradisional.

Mereka adalah kumpulan pertama petani di negeri itu yang mempelopori kaedah penternakan ikan keli bagi tujuan komersial dengan menggunakan kaedah tradisional yang dikenali sebagai kaedah 'Integrated Pest Management' atau lebih dikenali sebagai kaedah 'IPM' dengan bantuan Jabatan Pertanian daerah.

Kaedah IPM atau juga dikenali sebagai kaedah 'Pengurusan Makhluk Perosak Bersepadu' yang digunakan oleh petani berkenaan, bukan sahaja dapat mengekalkan habitat asal ikan keli itu seperti di sawah padi tetapi dapat mengekalkan rasa serta keasliannya.

Ketua kumpulan penternak ikan keli terbabit, Hassan Kadir, 52, berkata penggunaan kaedah IPM memberi banyak kelebihan, sekali gus lebih menguntungkan peserta, terutama petani.

Katanya, sebelum ini tanaman padi di kawasan itu banyak diserang musuh atau makhluk perosak tetapi sejak ternakan ikan keli di sawah, ia dapat membantu mengawal musuh berkenaan.

"Penggunaan kaedah IPM ini begitu mudah, tidak memerlukan modal besar dan mudah diuruskan di samping pulangannya lumayan," katanya.

Seorang lagi peserta, Wan Ahmad Wan Derahman, 57, berkata dari segi kualiti, rasa dan keaslian ikan keli yang diternak melalui kaedah itu jauh lebih baik dan sedap berbanding kaedah lain sebelum ini.

Beliau yang pernah dua kali terbabit dalam penternakan ikan keli sebelum menggunakan kaedah itu berkata, permintaan ikan keli diternak melalui kaedah itu lebih tinggi dan digemari ramai.

"Kami membiarkan ikan keli ini bebas di sawah padi mencari makanan sendiri dan sudah tentu rasanya lebih asli dan enak dimakan. Dan ini adalah satu sebab ia mendapat pernintaan menggalakkan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Jajahan, Sulaiman Sultan Maideen, ketika ditemui berkata kejayaan enam petani terbabit menternak ikan keli di kawasan sawah padi seluas kira-kira 2.5 hektar di Kampung itu membanggakan.

Katanya, penggunaan kaedah itu akan diperluaskan ke seluruh jajahan berkenaan dalam usaha mengetengahkan ternakan ikan secara lebih komersial pada masa depan.

Katanya, penggunaan kaedah IPM itu dianggap sebagai kaedah 'dua dalam satu' yang lebih mudah dan menguntungkan, sekali gus dapat membantu meningkatkan hasil tanaman padi.

"Dalam masa yang sama, penggunaan kaedah IPM ini dapat membantu mengawal makhluk perosaka tanaman padi dan ia sama sekali bebas daripada penggunaan racun bagi menguruskan tanaman padi.

"Ikan keli yang dipeliharan di kawasan petak sawah padi ini akan dikurung di dalam petak khas selama enam minggu sebelum ia dilepas bebas di kawasan yang lebih luas mencari makanan sendiri seperti rumput, cacing dalam tanah dan pelbagai makhluk perosak tanaman padi," katanya.

Setakat ini, projek berkenaan menampakkan hasil dan kejayaan yang membanggakan apabila ternakan ikan keli berkenaan sudah mula dijual kepada umum serta pasaran luar.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan mendapati hasil tanaman padi yang diusahakan oleh petani disamping ternakan ikan keli di dalamnya meningkat setiap hektar.

"Pelaksanaan projek ini memberi peluang kepada petani memperolehi dua hasil dalam satu masa yang sama, iaitu hasil padi yang meningkat dan ikan keli," katanya.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, setiap peserta dibekalkan sebanyak 1,000 ekor benih anak ikan keli dan selepas 70 hari ternakan ini boleh dipungut dan memberikan hasil lumayan kepada peserta.

Sulaiman berkata, projek berkenaan adalah kali ketiga diusahakan oleh petani berkenaan dan biasanya mereka memperolehi purata pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan setiap peserta.

"Petani memungut sendiri ikan keli peliharaan mereka dan dijual terus kepada orang ramai di tepi jalan raya berhampiran kawasan sawah padi berkenaan.

"Selain itu, ikan keli ini juga dijual ke kawasan luar dan biasanya dengan harga RM5 sekilogram," katanya.