Wednesday, January 31, 2007

Sumber kekayaan baru -- Kita mampu hasilkan ikan RM6.3b menjelang 2010 – PM

Petikan daripada Utusan Malaysia
31 Jan 2007

KUALA BERANG 30 Jan. – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Projek Berimpak Besar (HIP) Zon Industri Akuakultur (ZIA) Peringkat Kebangsaan di sini dengan sasaran menghasilkan pengeluaran perikanan negara bernilai RM6.3 bilion menjelang tahun 2010.
Projek yang sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 700 peserta dari golongan nelayan dan siswazah di 39 projek yang telah dikenal pasti itu dijangka memberikan pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan kepada peserta terlibat.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, projek yang dibangunkan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu bukan sahaja dapat mewujudkan peluang pekerjaan tetapi juga dijadikan sebagai sumber kekayaan baru kepada negara khususnya para peserta terlibat.
Katanya, projek ZIA merupakan kaedah baru yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu nelayan dan pengusaha yang pendapatan mereka tidak menentu supaya memperoleh sumber pendapatan sampingan berterusan.
‘‘Industri akuakultur akan dijadikan tonggak utama sektor perikanan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerana kita mahu pembangunan ekonomi komprehensif yang memberi peluang kepada semua pihak.
“Dengan menggunakan pendekatan baru sebegini, ia dapat dijadikan sumber pendapatan kepada masyarakat luar bandar, justeru ia wajar dilaksanakan untuk meningkatkan lagi nilai pertanian, nilai kerja-kerja berkaitan pertanian dan hasil-hasil pertanian,” katanya pada majlis itu di Sekolah Kebangsaan Tapah di sini.
Selepas majlis itu, Perdana Menteri melawat projek ZIA Sungai Como di Tasik Kenyir melibatkan kawasan kira-kira 3,000 hektar termasuk 2,800 hektar kawasan perairan yang akan dibina dengan 6,000 unit sangkar bernilai RM50 juta melibatkan 240 peserta sepanjang pembangunannya sehingga 2010.
Menurut Perdana Menteri, dengan tumpuan besar yang diberikan terhadap projek berkenaan, industri pertanian berasaskan akuakultur mampu menarik minat golongan siswazah untuk menyertainya.
‘‘Dengan transformasi sektor pertanian ini, saya harap industri berkenaan akan menjadi pilihan pertama anak-anak muda lulusan universiti untuk menjadi usahawan akuakultur dan membangunkan industri kecil dan sederhana berasaskan pertanian,” ujarnya.
Beliau berharap para peserta memberikan perhatian sepenuhnya terhadap peraturan dan nasihat yang diberikan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan projek itu benar-benar mencapai matlamatnya.
Abdullah turut menggesa pihak swasta supaya terlibat secara serius dalam bidang perikanan terutama berkaitan pemasaran dan mengeksport hasil akuakultur bagi memastikan hasil ternakan pengusaha negara ini mendapat pasaran di luar negara.
“Penglibatan sektor swasta amat penting, (untuk mengeksport) hasil-hasil ikan atau yang ada hubung kait dengan perikanan. (Hasil ikan) Ini bukan hanya dijual di pasar-pasar tempatan sahaja dan jika ikan ini dieksport, hasil pendapatan rakyat juga bertambah,” ujarnya.
Pada sidang akhbar selepas itu, beliau berkata, ZIA merupakan projek yang mempunyai impak besar dari segi pekerjaan, memberikan pendapatan tinggi kepada peserta selain mewujudkan peluang perusahaan baru dalam sektor perikanan.
‘‘Tahun 2010 bukan lama lagi. Ia satu projek menambah nilai. Usaha yang berskala komersial dan dengan itu boleh menghasilkan pendapatan baru (kepada) siswazah, nelayan dan kumpulan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.
Abdullah berkata, sekiranya projek berimpak besar ZIA itu diberikan tumpuan serius, ia akan menjadi salah satu projek yang boleh membawa perubahan besar kepada pembangunan ekonomi negara.

Thursday, January 25, 2007

Ikan Haruan

Tidak kira digoreng, dibakar atau dibuat sup, ikan haruan sememangnya telah lama menjadi lauk hidangan rakyat Malaysia selain menjadi penawar untuk menyembuhkan luka terutama kepada mereka yang baru menjalani pembedahan dan bersalin.

Ikan air tawar jenis karnivor ini, yang merupakan spesies asli hutan hujan tropika boleh hidup dalam air payau dan biasa didapati di negara-negara rantau ini. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu bersaiz besar dinamakan ikan toman (Channa melanostoma) dan yang kecil ikan haruan (Channa striatus).

Profesor Abdul Manan Mat Jais, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata "Ikan berkenaan adalah dalam kategori "Order of Channiformes," "Family Channidae" dan "Genus Channa" dan yang saya sedang kaji ialah Channa Striatus."
Beliau berkata terdapat 30 spesies ikan haruan di dunia dengan lapan jenis terdapat di Sarawak, dua di Sabah dan empat di Semenanjung Malaysia.

Toman, bujuk dan haruan adalah dalam satu keluarga tetapi berlainan spesies.
Prof Abdul Manan berkata keunikan haruan dewasa ialah ia menunjukkan perlakuan monogami selain mempunyai daya penguasaan wilayah yang cukup kukuh.

Ikan haruan boleh hidup dalam air yang bertakung, bergerak perlahan, cetek dan berlumpur.
Bagaimanapun, kebiasaannya haruan boleh didapati di kolam, sungai, tasik, terusan pertanian, sawah dan muara sungai. Terdapat laporan menyebut pemancing pernah menangkap haruan bersaiz besar tetapi kebiasaannya berat ikan itu hanyalah sekitar satu kilogram.

PENYELIDIKAN DAN ANALISIS

Prof Abdul Manan berkata beliau memulakan penyelidikan ke atas ikan haruan pada 1985 dan ketika itu beliau terkejut apabila mendapat tahu ikan itu tidak dimasukkan dalam senarai ikan utama Jabatan Perikanan.

"Apa yang saya dapati daripada penyelidikan itu ialah ikan haruan merupakan satu sumber protein yang baik, kira-kira 60-70 peratus. Ia mengandungi lemak yang rendah, hanya kira-kira 20 peratus daripada beratnya berbanding dengan ikan air tawar lain serta daging, kambing, ayam dan makanan laut," katanya.

Haruan mengandungi sejumlah besar Vitamin A. Manakala kehadiran logam berat seperti kalsium, magnesium, tembaga, besi, mangan, nikel, plumbum dan zink adalah lebih rendah daripada paras toksik yang dibenarkan untuk badan manusia.

Prof Abdul Manan berkata kandungan asid arakidonik yang tinggi, yang dianggap luar biasa, dan dengan ketiadaan eikosapentaenoikasid dalam haruan adalah satu hasil penemuan yang amat menarik.

"Asid Arakidonik adalah petanda bagi prostaglandin. Ia memulakan proses darah menjadi beku dan bertanggungjawab untuk pertumbuhan semula," katanya.

Haruan juga mengandungi asid amino yang penting untuk menyembuhkan luka terutama glisin yang merupakan satu daripada komponen penting kolagen dalam kulit manusia.

Glisin merangkumi asid aspartik dan glutamik akan membentuk molikul protein yang penting untuk pertumbuhan semula dan penyembuhan.

"Oleh itu, ikan haruan mengandungi semua keperluan asas biokimia untuk penyembuhan luka," katanya.

MENGURANGKAN SAKIT SELEPAS PEMBEDAHAN

"Penemuan kami menunjukkan bahawa haruan bukan sahaja menggalakkan penyembuhan luka, malahan mengurangkan sakit selepas pembedahan," katanya.

Beliau berkata dari ujian kekangan perut, pati haruan didapati bertindak sebagai pautan-pekat bagi menghalang tindakan gerak balas.

Lebih menarik lagi, pati haruan dapat meningkatkan keberkesanan morfin.
Prof Abdul Manan berkata penemuan itu memberi platform saintifik kepada rakyat Malaysia, yang memakan ikan haruan untuk satu tempoh masa selepas pembedahan, dapat menghindarkan kesakitan dan penyembuhan luka.

Beliau berkata lendir ikan haruan mengandungi asid oleik dan linolik tak tepu iaitu komponen utama lipid sepenuhnya, dan kandungan kedua-dua asid ini didapati lebih tinggi dalam telur ikan. Telur segar haruan mempunyai jumlah asid arakidonik yang lebih tinggi.
Prof Abdul Manan berkata penemuan ini memberi kemungkinan peluang untuk mendapatkan jumlah optimum asid lemak yang diperlukan untuk menyembuh luka dari bahagian lain ikan haruan tanpa perlu mengorbankan ikan itu.

"Penemuan awal mengenai khasiat anti bakterianya amat mengagumkan dan kami sedang menumpukan kepada spesies yang boleh dihubungkan dengan penyembuhan ulser perut ke atas haiwan dan manusia," katanya.

MAKANAN TAMBAHAN KESIHATAN BERASASKAN HARUAN

"Isinya yang putih, pejal dan tidak bertulang sudah pasti menjadikan haruan satu bentuk makanan serta makanan tambahan yang menjanjikan," kata Prof Abdul Manan.
Beliau berkata ikan haruan mempunyai potensi untuk industri makanan kesihatan kerana ia boleh dijadikan bebola ikan, sosej, salami atau filet.

"Saya berharap untuk melihat haruan sebagai ikan yang boleh diguna secara meluas dalam kehidupan seharian kita dan secara komersial. Kita sepatutnya dengan bangga meletakkan haruan pada paras yang setidak-tidaknya sama dengan salmon atau trout," kata Prof Abdul Manan dan menambah kata beliau sedang melihat kemungkinan untuk memperkenalkan haruan sebagai satu komponen klinikal.

Prof Abdul Manan memenangi pingat gangsa Anugerah Mindex-Innotex untuk produk penjagaan kulit berasaskan haruan pada 1996 dan satu lagi pingat gangsa daripada Institut BioSains UPM pada 2004.

PERMINTAAN TINGGI

Manakala Ketua Eksekutif Cheroh Aquatic Sdn Bhd, Wan Jusoh Zakaria, dari Raub mengakui khasiat ikan haruan memang diketahui umum dan ia mendapat permintaan tinggi di kalangan penduduk berbanding bujuk dan toman.

Beliau mengakui hanya haruan jenis biasa bersaiz antara 300 dan 500 gram dan yang hidup di habitat semula jadi paling digemari orang ramai.

Wan Jusoh berkata pasaran ikan atau benih ikan haruan terutama di kalangan penternak dari dahulu hingga sekarang amat menggalakkan hingga kadang-kadang tidak mencukupi.
Bagaimanapun tidak ramai pengusaha yang berjaya menternak ikan haruan secara komersial kerana ia memerlukan kepakaran yang tersendiri tentang ikan itu.
"Selangor merupakan pengeluar terbesar ikan haruan secara komersial dengan Rawang banyak menghasilkannya," katanya.

Wan Jusoh juga mengakui bahawa permintaan tempatan untuk ikan haruan mencapai jumlah puncak yang baru seperti yang dapat dilihat dengan permintaan yang memberangsangkan untuk filet haruan oleh masyarakat Malaysia.

Lesen Penternakan Kolam Ikan Di Sarawak

PERKHIDMATAN PELESENAN PERIKANAN DARAT

PENTERNAKAN KOLAM IKAN

Lesen Untuk Kolam Ikan (Peraturan 28, Ordinan Perikanan Negeri 2003)
Mulai tahun 2006, semua penternak kolam ikan hendaklah mempunyai lesen untuk menternak ikan atau udang dalam kolam. Lesen boleh diperolehi daripada Unit Penguatkuasaan dan Pelesenan, Bahagian Perikanan Darat, Jabatan Pertanian Sarawak.
Yuran lesen adalah seperti berikut:
i) Saiz projek kolam ikan yang kurang daripada 0.2 ha - RM2.00 setahunii)Saiz projek kolam ikan yang melebihi 0.2 ha - RM20.00 sehektar setahun
Operasi tanpa lesen yang sah adalah satu kesalahan dan boleh dikompaun atau didenda.
Penalti
Denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Prosedur Memohon Lesen Kolam Ikan
Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke pejabat Unit Penguatkuasa dan Pelesenan atau melalui Pejabat Pertanian Bahagian bersama-sama dengan salinan dokumen yang disahkan sebanyak 3 set.
Geran tanah
Peta kadastral (kawasan yang dipohon hendaklah ditanda)
Peta lokaliti kolam ikan
Pelan reka bentuk projek kolam (mengikut skala)
Laporan EIA jika saiz projek melebihi 50 ha.
Surat Perjanjian sewa tanah atau surat kebenaran (jika tanah tersebut bukan milik anda)
Dua keping gambar bersaiz paspot

Carta Alir
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Unit Peguatkuasaan dan Pelesenan
Pusat Perikanan Darat, Semongok
Batu 12, Jalan Kuching/Serian
93250 Kuching
Sarawak
Tel: 082-613630 / Fax: 082-611871
atau Pegawai Perikanan di Pejabat Pertanian Bahagian dekat anda:
Samarahan
Tel: 082-671221
Sri Aman
Tel: 083-322120
Betong
Tel: 083-472005
Sarikei
Tel: 084-654144
Sibu
Tel: 084-333711
Bintulu
Tel: 086-311484
Miri
Tel: 085-432933
Limbang
Tel: 085-217917
Mukah
Tel: 084-871205
Kapit
Tel: 084-796316

Sumber dari
www.doa.sarawak.gov.my/fish_kolam.htm

Tuesday, January 23, 2007

Makanan ikan

Berminat untuk mendapatkan bekalan makanan ikan air tawar .

Untuk ternakan ikan air tawar seperti ;

1. Ikan tilapia
2. Ikan keli
3. Ikan sepat
4. Ikan patin
5. Ikan puyu

Sila hubungi kami untuk maklumat lanjut di admin
fishplaza2@gmail.com
Terima kasih.

Usahawan akuakultur

Petikan dari sumber.(29 Disember 2006)

Seorang usahawan berasal dari Johor telah berjaya mengusahakan penternakan ikan air tawar secara ternakan menggunakan kolam sangkar dan kolam gentian.

Di antara aktiviti yang dijalankan oleh En. Mohd Fadzil ini ialah menternak ikan untuk jualan, pembenihan, menternak ikan hiasan dan menanam tumbuhan akuatik

Ikan yang diternak termasuk tilapia, puyu, ikan sepat, ikan patin dan ikan keli. Pada masa ini ternakan ikan tilapia mencecah 8,000 ekor, puyu (10,000 ekor), ikan patin(3,000 ekor) dan ikan sepat sebanyak 1,000 ekor.

Ikan tilapia dijual pada harga RM5.50 seekor, ikan sepat(RM12 seekor), ikan puyu(RM8 seekor), ikan patin(RM9 seekor) dan ikan keli RM3.50 seekor)

Pada masa yang sama juga, dia juga menjalankan aktiviti pembenihan ikan tilapia, sepat dan keli.

Anak-anak ikan dijual bersaiz seinci pada harga mengikut sepsis iaitu ikan keli (antara lapan dan sembilan sen seekor), ikan tilapia (antara 10 – 12 sen seekor) dan ikan sepat (20 sen seekor).

Kebanyakan pembeli adalah daripada kalangan penternak ikan yang mnegusahakan projek akuakultur seperti Mohd Fazdil.

Menurutnya, kos operasi bidang akuakultur kebanyakannya melibatkan makanan iaitu kira-kira 50 peratus.

Mohd Fazdil bagaimanapun bertuah kerana anggota keluarganya turut membantunya setiap hari.

Mohd Fazdil juga menawarkan kursus dalam bidang berkaitan penternakan asas ikan air tawar, menternak ikan hiasan dan menternak makanan ikan serta menanam tumbuhan akuatik.

Mohd Fazdil juga menasihati kepada mana-mana individu yang ingin turut jejak langkahnya supaya mengkaji aspek pemasaran terlebih dahulu selain mempunyai minat dan mempunyai pengetahuan terlebih dahulu.

Wednesday, January 17, 2007

Keli Sungai Pahang

Petikan.

KELI mirip ikan baung (Mystus spp.) atau semilang laut (Plotosus spp.). Spesies ini terkenal tahan lasak dan mampu hidup beberapa jam di darat tanpa air. Keajaiban ini kerana terdapat organ ‘arboresen’ yang membolehkannya bernafas tanpa air, asalkan insangnya berkeadaan lembap.

Terdapat beberapa spesies keli yang popular dan mendapat tempat sebagai ternakan komersil. Antaranya, keli kayu (Clarias batracus), keli bunga (Clarias macrocephalus) dan keli eksotika (Clarias gariepinus).

Paling popular keli eksotika kerana ia mudah diternak secara komersil. Namun, bagi keli kayu atau bunga sukar diperoleh kerana habitatnya di sawah padi, parit, tali air, tasik atau anak sungai.

1. Sifat - Berbadan bulat tanpa sisik. Kulit berwarna coklat tua atau gelap. Bermata sepet, kecil serta dilengkapi dua sengat berbisa sebagai alat mempertahankan diri.
Keli bermisai lebat dan lebih cantik daripada tapah (Wallago spp.) yang bermisai jarang, kusut masai dan tidak terurus. Ia dikelaskan sebagai ikan demersal yang karnivor bermulut lebar.
Gemar menyendiri dengan membenamkan diri dalam lumpur atau lubang tanah di tebing batas padi. Tabiatnya hampir sama dengan tapah, bujuk (Channa lucius), ketutu (Oxyeleotris marmoratus) atau ikan sebelah laut (Pseudorhombus spp.). Ia hanya keluar dari kubu persembunyian untuk mencari makan atau menghirup udara (oksigen) segar di permukaan air.

2. Pemakanan - Di habitat asal ia membaham apa saja sama ada anak udang, ikan kecil, cacing tanah atau serangga. Keli turut menjadi sumber pemakanan kepada pemangsa lain yang lebih perkasa seperti tapah (Wallago spp.) atau toman (Channa micropeltes).

3. Habitat - Ia lebih menggemari lubuk tenang dengan dasar berlumpur sebagai sarang. Lazimnya, keadaan air pH7 dengan keliatan 12 adalah paling sesuai. Bahkan, ia boleh hidup selesa pada suhu air persekitaran 28 darjah selsius dan mampu membesar sehingga lebih 35 sentimeter.

4. Lokasi - Lubuk, paya, anak sungai atau tasik berair tenang menjadi pilihan keli bersarang. Ini kerana sifatnya tidak gemar bergerak seperti ikan kap kepala besar (Aristichthys nobilis), ikan mas (Carassius auratus) atau sia (Mystacoleucus marginatus).

Di Pahang, ia boleh ditemui di serata tempat terutama di sawah padi di Paya Pahang Tua, Mambang, Ganchong dan Paloh Hinai, Pekan. Bahkan, ia mendiami Tasik Chini, Paya Bungor atau Bera. Keli juga menghuni di kuala anak sungai kecil seperti Sungai Lepar di Paloh Hinai hingga ke Jerantut dan Kuala Lipis, selain di Sungai Bera dan Serting.

5. Pembiakan -Di habitat asal ia menjalani pembiakan semula jadi di paya, tasik atau lombong terbiar. Pembiakan keli tidak sukar. Justeru, banyak pusat penetasan muncul menjalankan aktiviti ini. Proses ini boleh dilakukan melalui kaedah aruhan atau pengambilan kelenjar pituitari.

Kaedah aruhan dilakukan dengan menyuntik induk matang dengan hormon ovaprim atau hormon korionik gonadotropin (HCG). Suntikan dilakukan bertujuan mempengaruhi berlakunya proses ovulasi, iaitu penceraian sarung sel ovum.

Kaedah pituitari dilakukan dengan memotong kepala induk jantan atau betina untuk mendapatkan kelenjar pituitari yang terletak di bawah otak. Ia perlu dilakukan dengan lebih teliti sebab membabitkan kemahiran teknikal tinggi.

Semua kaedah ini banyak dilakukan di Pusat Pengembangan Akuakultur Perikanan Bukit Tinggi, Bentong untuk menghasilkan benih keli bermutu.

6. Menangkap - Banyak kaedah menangkap keli boleh dilakukan. Paling mudah, menggunakan pancing, jaring, bubu umpan, serkap atau memedap. Untuk memancing, umpan cacing tanah paling mustajab. Ini berikutan di habitat asal pun ia mengorek lubang untuk memburu cacing selain sebagai tempat kediaman.

Penggunaan jaring sesuai di tali air, paya, tasik atau lubuk. Jaring tangsi ditahan di sepanjang tebing dan biarkan semalaman. Lazimnya, keli lebih aktif waktu malam dan ia mula keluar memburu makanan dengan menyusur tebing lalu tersangkut pada jaring.

Bubu berumpan anak sepat bakar atau ikan baja sesuai digunakan di tasik atau lubuk dalam. Bau sepat bakar atau ikan baja mampu membangkitkan seleranya untuk membaham umpan dihidangkan. Cara ini bukan saja keli yang terperangkap, bahkan baung, ketutu, belut (Monopterus alba) atau udang galah (Macrobrachium rosenbergii).

Sementara serkap dilakukan di sawah padi ketika air dikeringkan. Kaedah ini begitu popular dan banyak diamalkan petani di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

7. Pemuliharaan sumber - Keli asli (liar) mengalami kepupusan serius. Selama ini ia mudah dijumpai di sawah padi, tali air atau dipancing di parit tepi jalan, kini terlalu sukar ditemui. Keadaan ini berlaku akibat penggunaan racun serangga secara meluas tanpa kawalan oleh petani sekali gus menyebabkan banyak ikan sawah seperti keli, sepat (Trichogaster trichopterus), puyu (Anabas testudineus), haruan (Channa striatus) atau sepilai (Betta pugnux) terkorban.

Sepatutnya, teknik ternakan ikan dalam sawah padi untuk menangkis serangan serangga perlu diamalkan secara bijak. Anak ikan kecil boleh dilepaskan sewaktu petak sawah mula dimasukkan air.

Ikan ternakan (keli, sepat atau puyu) akan bertindak memakan serangga sekali gus mengawal perosak. Di samping itu, pesawah juga dapat menikmati hasil tuaian padi bersama ikan.

8. Resipi - Paling tersohor ialah keli masak goreng berlada. Resepi ini sering dijual di kedai makan serata tempat. Keli goreng berlada mampu mencecah RM2.50 hingga RM3 seekor berbanding harga basah hanya RM5 sekilogram.

Tetapi keli percik paling popular sepanjang Ramadan dan mendapat permintaan tinggi. Tidak kurang popular keli gulai lemak masak tempoyak. Untuk membangkitkan aromanya masukkan sedikit daun kesum atau bunga kantan. Bau harum bunga kantan atau daun kesom mampu menaikkan selera mereka yang tercium baunya.

Bagi masakan moden, keli panggang ala Thai paling istimewa. Bahan yang sering digunakan sebagai adunan ialah serai, lada putih, daun sadri dan sedikit sos tiram.

Wednesday, January 10, 2007

TERNAK KELI & IKAN PUYU

BERMULA DENGAN TERNAK KELI

Bermula dengan menternak ikan keli dan puyu dalam dua kolam di tanah milik penduduk kampung yang disewanya sejak 1985, Adnan Asran, 32, kini mampu tersenyum kerana kegiatan yang dilakukan secara tidak bersungguh pada permulaan itu menjadi sumber pendapatannya. Usaha selama 11 tahun itu kini membuahkan hasil apabila beliau diumumkan sebagai Usahawan Penternak Ikan Jaya peringkat kebangsaan sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan yang sedang berlangsung di sini, selama empat hari bermula semalam.

Adnan yang berasal dari Kampung Baru, Simpang Kendong, Alor Gajah, Melaka berkata, ketika sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajar (SRP) beliau serta beberapa rakan membina kolam di atas tapak tanah sawah milik seorang penduduk kampung. Katanya, ketika itu musim menuai padi baru saja tamat dan air di dalam sawah di kampung berkenaan semakin kering. Hasrat membina kolam di penjuru sawah itu timbul apabila seorang penduduk kampung memberitahu ikan sungai seperti keli dan puyu akan bertumpu di kawasan berair. "Di dalam kolam yang dibina, kami masukkan daun kelapa kering serta tumbuhan lain ke dalam kolam," katanya. Adnan berkata, sebulan selepas itu, beliau dan rakannya bersetuju untuk mengeringkan air dalam kolam dan kami terkejut apabila mendapati lebih 200 ikan keli, 500 ikan puyu serta beberapa ekor belut berada dalam kolam berkenaan. "Ikan-ikan yang diperolehi daripada kolam itu kami jual kepada penduduk kampung," katanya.

Walaupun mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, minat serta dorongan keluarga, Adnan yang anak pertama daripada sembilan beradik mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan menumpukan perhatian menternak ikan secara komersil. Bermula dengan membina dua kolam, Adnan dengan dibantu oleh tiga adiknya kini meningkatkan usaha dengan menternak ikan di dalam 18 kolam dan membina 12 buah tangki simen di tanah seluas 1.7 hektar. Beliau juga membina kolam untuk penetasan ikan keli dan puyu. "Saya memasarkan ikan keli dan puyu di beberapa bandar di Melaka dan Negeri Sembilan," katanya. Sehingga kini, Adnan dapat memasarkan lebih satu tan metrik ikan sebulan dan pendapatan bersih yang diperolehi ialah RM3,500 sebulan.

Potensi Ternakan Ikan Puyu

Ikan puyu seringkali dikaitkan dengan kepercayaan mistik. Mitos mengenai ikan puyu yang kononnya dapat menjadi penghalang serangan toyol dan ilmu hitam bukanlah sesuatu yang jarang kita dengar. Malah ada juga yang mempercayai memelihara ikan puyu boleh dijadikan 'tangkal' bagi menghalang perbuatan jahat.

Selain memelihara ikan puyu untuk tujuan perhiasan atau menjadikannya penghalang kuasa jahat, tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai juadah. Ikan puyu mempunyai khasiat yang sama dengan ikan-ikan air tawar yang lain, biarpun persepsi masyarakat menganggap ikan puyu sebagai ikan paya atau ikan lumpur. Ikan puyu merupakan spesis ikan air tawar paling lasak kerana bentuknya bersisik licin dan bersirip tajam, mempunyai jangka hayat yang lama dan mampu hidup lebih lama di atas darat walaupun tanpa air. Biasanya ikan puyu ini akan dibiarkan untuk tempoh 2-3 hari sebelum dimasak bagi tujuan menghilangkan bau lumpur.Persekitaran Ala 'Resort' Seorang usahawan Melayu tempatan di Melaka gigih mengusahakan ternakan ikan puyu secara komersil.

Tapak projek ternakannya terletak lebih kurang 14 kilometer dari pekan Alor Gajah, iaitu di Kg Baru Taboh Naning, Jalan Taboh Naning, Melaka. Syarikat Sempadan Gemilang Enterprise milik Encik Amir bin Haji Asran terletak di kawasan perkampungan yang di sekitarnya terdapat pokok buah-buahan seperti pisang dan rambutan. Rumah banglo dua tingkat yang dibina sendiri Encik Amir dikelilingi pokok kelapa, pokok palma, pokok bunga kertas dan bonsai menyerlahkan keindahan persekitaran landskap rumah beliau. Pokok-pokok ini meredupkan kawasan sekitar tapak di samping menjadi sempadan antara kolam-kolam ikan.

Pencetus Semangat Minat untuk berniaga sendiri telah timbul seawal beliau berumur 17 tahun. 20 tahun selepas itu, Encik Amir boleh berbangga kerana beliau merupakan salah seorang pelopor dalam bidang ternakan ikan puyu di negeri Melaka.Sejarah Encik Amir berniaga sendiri bermula dengan menjual buah-buahan selepas tamat tingkatan lima. Minat yang mendalam untuk menjadi usahawan berjaya menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menamatkan pendidikan formal ke peringkat STPM.

Sebagai permulaan, beliau berhijrah ke Brunei. "Nak melihat negeri orang", ujar Encik Amir ringkas.Selama 4 bulan di Brunei, banyak ilmu dan pengalaman diperolehi beliau. Melihat orang Brunei hidup senang dengan usaha sendiri tanpa bantuan subsidi dari kerajaan telah membakar semangat beliau. Kesenangan dan kejayaan yang dicapai hari ini adalah dengan usaha sendiri. Usaha lebih akan menghasilkan ganjaran yang lebih. Melihat orang lain hidup senang dan berjaya telah mendorong beliau untuk memulakan perniagaan sendiri.Permulaan yang SederhanaDengan bantuan isteri beliau, Puan Hajijah binti Haji Abdul Wahid, Encik Amir memulakan projek ternakan ikan puyu pada tahun 1994.

Tanah seluas 4 ekar milik keluarga dibeli dan dijadikan sebagai tapak projek. Berbekalkan modal sendiri sebanyak RM20,000 beliau memulakan projek dengan sebuah kolam bersaiz 40' X 80'.Tapak projek dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti air, elektrik, telefon dan sistem perparitan yang sempurna.

Untuk sampai ke tapak projek bukanlah satu masalah kerana ia boleh dihubungi oleh semua kenderaan darat melalui jalan raya utama. Kini, terdapat 12 buah kolam tanah dan 18 buah kolam konkrit. Kolam-kolam ini digunakan untuk penetasan benih ikan, penternakan dan penghasilan induk ikan.

Potensi Ikan Puyu

Mengapa agaknya Encik Amir memilih ikan puyu untuk dikomersilkan? Berpotensikah ia? Ikan puyu (Climbing Perch) atau nama saintifiknya Anabias Testudineus, turut dipanggil ikan betok oleh penduduk tempatan. Habitat ikan puyu biasanya di sawah padi, tasik, paya, lubuk dan anak sungai. Melihat ikan puyu di dalam kolam dan sangkar penetasan mengundang pelbagai persoalan. Mampukah ikan sekecil ini menarik minat pembeli? Berjayakah ia jika dikomersilkan secara besar-besaran? Saiznya yang kecil dan warnanya yang gelap begitu jauh sekali dengan ternakan aqua-culture yang lain. Bila melihat keadaan ini, pasti ramai yang tertanya-tanya sejauh manakah perusahaan ini akan berjaya."Walaupun rupanya kurang menarik, tetapi rasanya sedap!", tegas Encik Amir. Memang ramai yang kurang sedar bahawa rasanya yang sedap dan isi yang lembut telah menarik permintaan yang tinggi dari pemborong dan pembeli. Ini kerana ia mempunyai pelbagai khasiat seperti menahan serangan penyakit, meningkatkan tenaga lelaki dan melambatkan proses penuaan bagi wanita. Ikan puyu amat enak digoreng, dimasak lemak cili api ataumasak sambal.

Kini, Encik Amir mampu mengeluarkan 250,000 benih ikan puyu sebulan berdasarkan permintaan pelanggan. Induk ikan puyu diperolehi daripada kawasan paya setempat selain diambil dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan. Anak ikan betina dijual dengan harga 30 hingga 40 sen seekor, manakala anak ikan jantan dijadikan induk. Selepas 4 atau 5 bulan, ikan-ikan mampu mencapai tempoh matang dan seberat sehingga 250 hingga 300 gram seekor, telah sedia untuk dipasarkan.

Bantuan KewanganPada tahun 1999, Encik Amir berjaya memohon pinjaman kewangan sebanyak RM75,000 daripada Bank Pertanian Malaysia melalui kemudahan Tabung Untuk Makanan (3F) untuk membiayai perbelanjaan semasa ke atas projek ternakan di samping meningkatkan prestasi syarikat melalui perancangan-perancangan yang telah dirangka.Selain memberi bantuan kewangan, Bank Pertanian Malaysia turut mengawasi projek yang dijalankan. Pegawai-pegawai Bank Pertanian juga seringkali mengunjungi tapak projek bagi tujuan pemerhatian dan pemantauan. Encik Amir berkata bantuan dari Bank Pertanian Malaysia banyak membantu beliau dalam memperkembangkan ternakan ikan puyunya. Bank Pertanian telah membuktikan peranannya dalam membantu usahawan-usahawan kecil tempatan seperti beliau sendiri.

Usahawan Berwawasan

Setelah hampir 10 tahun bergiat dalam projek ternakan ikan air tawar ini, Encik Amir berharap agar segala titik peluhnya terbayar melalui kepuasan hati pembeli dan pelanggan-pelanggannya. Beliau turut bersedia memberi nasihat dan menjadi konsultan kepada pengusaha-pengusaha yang ingin menceburi bidang ini. Di samping mengusahakan ternakan ikan puyu, beliau turut menceburi bidang landskap, membuat pelan kolam serta menjual pokok bunga. Usaha dan wawasan Encik Amir wajar dijadikan contoh kepada usahawan-usahawan baru yang ingin memulakan perniagaan sendiri.

Sistem RAS

Petikan dari Omar Mustafa.

Jika dulu, untuk menceburi industri akuakultur memerlukan tanah luas, penggunaan air banyak dan modal besar, kini selari dengan perkembangan semasa, industri ini sangat mudah diceburi, asalkan mempunyai minat.

Kebanyakan yang menceburi bidang akuakultur ini biasanya memilih kaedah paling mudah dan tidak memerlukan modal besar iaitu menternak ikan dalam sangkar dan kolam.

Ketua Pegawai Eksekutif ATR Venture Sdn Bhd, Omar Mustafa, berkata bagi menarik minat lebih ramai lulusan universiti yang menganggur dan orang ramai dalam bidang ini, syarikatnya memperkenalkan satu sistem baru, berupaya menternak ikan dengan cara mudah dan menjimatkan.“Kini, dengan penggunaan sistem filter ‘recirculation’ atau dikenali sebagai Recirculating Aquaculture System (RAS), orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang akuakultur dapat melakukannya dengan lebih efektif dan efisien,” katanya.

Beliau berkata, RAS adalah proses penggunaan atau kitaran semula air dengan membela ikan ternakan dalam tangki dan membiarkan air berkenaan mengalir ke tapisan biologi yang bertindak mengeluarkan bahan toksin daripada tangki.“Ia memberi banyak kelebihan dan faedah berbanding sistem kolam dan sangkar. Boleh dilakukan dalam kawasan terhad tanpa perlu bersusah payah seperti menternak ikan menggunakan cara lama.

“Sistem ini menjalankan empat fungsi utama iaitu membuang kumuhan pada dasar dan yang terapung, menukar ammonia dan melakukan pertukaran gas karbon dioksida kepada oksigen,” katanya.Beliau berkata, kebanyakan reka bentuk sistem RAS mempunyai penapis berlainan untuk melakukan keempat-empat fungsi berkenaan dan untuk membersihkan penapis itu hanya memerlukan masa lima minit.

“Penapis ini mempunyai ketinggian 0.6 meter x 0.6 meter dan dipasang bersama tangki fiber berukuran empat meter x satu meter serta tebal empat milimeter berupaya memelihara sehingga 1,000 ekor ikan seberat 500 gram setiap ekor dengan kadar penukaran air rendah.“Sistem ini juga boleh beroperasi secara sendiri tanpa perlu dikawal rapi. Ia direka dengan teknologi tinggi dan boleh digunakan bagi menjalankan aktiviti ternakan ikan secara besar-besaran,” katanya.

Omar berkata, penggunaan sistem modul ini dapat mengawal penyakit dan pembesaran ikan lebih cepat berbanding kaedah konvensional.“Ikan dipelihara mengalami kadar tekanan rendah, secara tidak langsung menghasilkan ikan berkualiti dan mempunyai harga tinggi. Sistem ini membolehkan kawalan persekitaran dilakukan seperti suhu, kandungan air, cahaya ke tahap optima atau diubah suai mengikut kesesuaian spesies ikan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, menerusi sistem itu membolehkan usaha ternakan dilakukan pada bila-bila masa bagi menjamin bekalan berkekalan terutama ikan yang mengikut musim.Omar berkata, sistem ini mudah diuruskan dan penjagaannya sangat mudah. Pemerhatian, penggredan, pemberian makanan, rawatan dan penuaian dapat dilakukan dengan mudah disebabkan kawasan kecil dan teratur.“Kelebihan lain sistem ini ialah berupaya meniru habitat semula jadi spesies ikan tertentu. Keupayaan mengasingkan stok ikan membolehkan pengasingan parasit serta makhluk perosak lain dikurangkan.

“Cara ini tidak memerlukan jumlah air banyak dan sesuai digunakan di kawasan yang mana kaedah penternakan akuakultur secara konvensional lain tidak sesuai digunakan,” katanya.Beliau berkata, kawasan seluas 40 kaki x 40 kaki berupaya mengeluarkan sehingga lima metrik tan setahun. Ia lebih insentif berbanding kaedah akuakultur lain kerana berupaya mengawal saiz, berat, tekstur dan kualiti ternakan.Dengan menggunakan kaedah ini, katanya, ia tidak mengeluarkan atau mengumpul sebarang sisa toksik . Keseluruhan air dikitar semula dan hanya sedikit dibuang yang mana bertindak sebagai baja kepada tanaman.

“Format penternakan secara modular ini membolehkan golongan sasaran membabitkan diri dalam bidang akuakultur sama ada sebagai pendapatan tambahan atau utama. Ia tidak menggunakan tenaga buruh yang ramai dan seorang penternak berupaya menjaga sehingga lima modul iaitu 25 tangki.“Kos memiliki sistem ini sangat berpatutan dan mampu dimiliki serta memberikan pulangan modal dalam lingkungan dua hingga lima tahun, bergantung kepada jenis ikan yang diternak.“Orang ramai boleh memulakan penternakan hanya dengan menggunakan tangki dengan modal serendah RM8,500 bagi menghasilkan ikan sehingga 500 kilogram. Ia jauh lebih intensif daripada kolam tanah ataupun sangkar,” katanya.