Wednesday, January 10, 2007

TERNAK KELI & IKAN PUYU

BERMULA DENGAN TERNAK KELI

Bermula dengan menternak ikan keli dan puyu dalam dua kolam di tanah milik penduduk kampung yang disewanya sejak 1985, Adnan Asran, 32, kini mampu tersenyum kerana kegiatan yang dilakukan secara tidak bersungguh pada permulaan itu menjadi sumber pendapatannya. Usaha selama 11 tahun itu kini membuahkan hasil apabila beliau diumumkan sebagai Usahawan Penternak Ikan Jaya peringkat kebangsaan sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan yang sedang berlangsung di sini, selama empat hari bermula semalam.

Adnan yang berasal dari Kampung Baru, Simpang Kendong, Alor Gajah, Melaka berkata, ketika sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajar (SRP) beliau serta beberapa rakan membina kolam di atas tapak tanah sawah milik seorang penduduk kampung. Katanya, ketika itu musim menuai padi baru saja tamat dan air di dalam sawah di kampung berkenaan semakin kering. Hasrat membina kolam di penjuru sawah itu timbul apabila seorang penduduk kampung memberitahu ikan sungai seperti keli dan puyu akan bertumpu di kawasan berair. "Di dalam kolam yang dibina, kami masukkan daun kelapa kering serta tumbuhan lain ke dalam kolam," katanya. Adnan berkata, sebulan selepas itu, beliau dan rakannya bersetuju untuk mengeringkan air dalam kolam dan kami terkejut apabila mendapati lebih 200 ikan keli, 500 ikan puyu serta beberapa ekor belut berada dalam kolam berkenaan. "Ikan-ikan yang diperolehi daripada kolam itu kami jual kepada penduduk kampung," katanya.

Walaupun mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, minat serta dorongan keluarga, Adnan yang anak pertama daripada sembilan beradik mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan menumpukan perhatian menternak ikan secara komersil. Bermula dengan membina dua kolam, Adnan dengan dibantu oleh tiga adiknya kini meningkatkan usaha dengan menternak ikan di dalam 18 kolam dan membina 12 buah tangki simen di tanah seluas 1.7 hektar. Beliau juga membina kolam untuk penetasan ikan keli dan puyu. "Saya memasarkan ikan keli dan puyu di beberapa bandar di Melaka dan Negeri Sembilan," katanya. Sehingga kini, Adnan dapat memasarkan lebih satu tan metrik ikan sebulan dan pendapatan bersih yang diperolehi ialah RM3,500 sebulan.

Potensi Ternakan Ikan Puyu

Ikan puyu seringkali dikaitkan dengan kepercayaan mistik. Mitos mengenai ikan puyu yang kononnya dapat menjadi penghalang serangan toyol dan ilmu hitam bukanlah sesuatu yang jarang kita dengar. Malah ada juga yang mempercayai memelihara ikan puyu boleh dijadikan 'tangkal' bagi menghalang perbuatan jahat.

Selain memelihara ikan puyu untuk tujuan perhiasan atau menjadikannya penghalang kuasa jahat, tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai juadah. Ikan puyu mempunyai khasiat yang sama dengan ikan-ikan air tawar yang lain, biarpun persepsi masyarakat menganggap ikan puyu sebagai ikan paya atau ikan lumpur. Ikan puyu merupakan spesis ikan air tawar paling lasak kerana bentuknya bersisik licin dan bersirip tajam, mempunyai jangka hayat yang lama dan mampu hidup lebih lama di atas darat walaupun tanpa air. Biasanya ikan puyu ini akan dibiarkan untuk tempoh 2-3 hari sebelum dimasak bagi tujuan menghilangkan bau lumpur.Persekitaran Ala 'Resort' Seorang usahawan Melayu tempatan di Melaka gigih mengusahakan ternakan ikan puyu secara komersil.

Tapak projek ternakannya terletak lebih kurang 14 kilometer dari pekan Alor Gajah, iaitu di Kg Baru Taboh Naning, Jalan Taboh Naning, Melaka. Syarikat Sempadan Gemilang Enterprise milik Encik Amir bin Haji Asran terletak di kawasan perkampungan yang di sekitarnya terdapat pokok buah-buahan seperti pisang dan rambutan. Rumah banglo dua tingkat yang dibina sendiri Encik Amir dikelilingi pokok kelapa, pokok palma, pokok bunga kertas dan bonsai menyerlahkan keindahan persekitaran landskap rumah beliau. Pokok-pokok ini meredupkan kawasan sekitar tapak di samping menjadi sempadan antara kolam-kolam ikan.

Pencetus Semangat Minat untuk berniaga sendiri telah timbul seawal beliau berumur 17 tahun. 20 tahun selepas itu, Encik Amir boleh berbangga kerana beliau merupakan salah seorang pelopor dalam bidang ternakan ikan puyu di negeri Melaka.Sejarah Encik Amir berniaga sendiri bermula dengan menjual buah-buahan selepas tamat tingkatan lima. Minat yang mendalam untuk menjadi usahawan berjaya menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menamatkan pendidikan formal ke peringkat STPM.

Sebagai permulaan, beliau berhijrah ke Brunei. "Nak melihat negeri orang", ujar Encik Amir ringkas.Selama 4 bulan di Brunei, banyak ilmu dan pengalaman diperolehi beliau. Melihat orang Brunei hidup senang dengan usaha sendiri tanpa bantuan subsidi dari kerajaan telah membakar semangat beliau. Kesenangan dan kejayaan yang dicapai hari ini adalah dengan usaha sendiri. Usaha lebih akan menghasilkan ganjaran yang lebih. Melihat orang lain hidup senang dan berjaya telah mendorong beliau untuk memulakan perniagaan sendiri.Permulaan yang SederhanaDengan bantuan isteri beliau, Puan Hajijah binti Haji Abdul Wahid, Encik Amir memulakan projek ternakan ikan puyu pada tahun 1994.

Tanah seluas 4 ekar milik keluarga dibeli dan dijadikan sebagai tapak projek. Berbekalkan modal sendiri sebanyak RM20,000 beliau memulakan projek dengan sebuah kolam bersaiz 40' X 80'.Tapak projek dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti air, elektrik, telefon dan sistem perparitan yang sempurna.

Untuk sampai ke tapak projek bukanlah satu masalah kerana ia boleh dihubungi oleh semua kenderaan darat melalui jalan raya utama. Kini, terdapat 12 buah kolam tanah dan 18 buah kolam konkrit. Kolam-kolam ini digunakan untuk penetasan benih ikan, penternakan dan penghasilan induk ikan.

Potensi Ikan Puyu

Mengapa agaknya Encik Amir memilih ikan puyu untuk dikomersilkan? Berpotensikah ia? Ikan puyu (Climbing Perch) atau nama saintifiknya Anabias Testudineus, turut dipanggil ikan betok oleh penduduk tempatan. Habitat ikan puyu biasanya di sawah padi, tasik, paya, lubuk dan anak sungai. Melihat ikan puyu di dalam kolam dan sangkar penetasan mengundang pelbagai persoalan. Mampukah ikan sekecil ini menarik minat pembeli? Berjayakah ia jika dikomersilkan secara besar-besaran? Saiznya yang kecil dan warnanya yang gelap begitu jauh sekali dengan ternakan aqua-culture yang lain. Bila melihat keadaan ini, pasti ramai yang tertanya-tanya sejauh manakah perusahaan ini akan berjaya."Walaupun rupanya kurang menarik, tetapi rasanya sedap!", tegas Encik Amir. Memang ramai yang kurang sedar bahawa rasanya yang sedap dan isi yang lembut telah menarik permintaan yang tinggi dari pemborong dan pembeli. Ini kerana ia mempunyai pelbagai khasiat seperti menahan serangan penyakit, meningkatkan tenaga lelaki dan melambatkan proses penuaan bagi wanita. Ikan puyu amat enak digoreng, dimasak lemak cili api ataumasak sambal.

Kini, Encik Amir mampu mengeluarkan 250,000 benih ikan puyu sebulan berdasarkan permintaan pelanggan. Induk ikan puyu diperolehi daripada kawasan paya setempat selain diambil dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan. Anak ikan betina dijual dengan harga 30 hingga 40 sen seekor, manakala anak ikan jantan dijadikan induk. Selepas 4 atau 5 bulan, ikan-ikan mampu mencapai tempoh matang dan seberat sehingga 250 hingga 300 gram seekor, telah sedia untuk dipasarkan.

Bantuan KewanganPada tahun 1999, Encik Amir berjaya memohon pinjaman kewangan sebanyak RM75,000 daripada Bank Pertanian Malaysia melalui kemudahan Tabung Untuk Makanan (3F) untuk membiayai perbelanjaan semasa ke atas projek ternakan di samping meningkatkan prestasi syarikat melalui perancangan-perancangan yang telah dirangka.Selain memberi bantuan kewangan, Bank Pertanian Malaysia turut mengawasi projek yang dijalankan. Pegawai-pegawai Bank Pertanian juga seringkali mengunjungi tapak projek bagi tujuan pemerhatian dan pemantauan. Encik Amir berkata bantuan dari Bank Pertanian Malaysia banyak membantu beliau dalam memperkembangkan ternakan ikan puyunya. Bank Pertanian telah membuktikan peranannya dalam membantu usahawan-usahawan kecil tempatan seperti beliau sendiri.

Usahawan Berwawasan

Setelah hampir 10 tahun bergiat dalam projek ternakan ikan air tawar ini, Encik Amir berharap agar segala titik peluhnya terbayar melalui kepuasan hati pembeli dan pelanggan-pelanggannya. Beliau turut bersedia memberi nasihat dan menjadi konsultan kepada pengusaha-pengusaha yang ingin menceburi bidang ini. Di samping mengusahakan ternakan ikan puyu, beliau turut menceburi bidang landskap, membuat pelan kolam serta menjual pokok bunga. Usaha dan wawasan Encik Amir wajar dijadikan contoh kepada usahawan-usahawan baru yang ingin memulakan perniagaan sendiri.