Petikan daripada Utusan Malaysia
31 Jan 2007
KUALA BERANG 30 Jan. – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Projek Berimpak Besar (HIP) Zon Industri Akuakultur (ZIA) Peringkat Kebangsaan di sini dengan sasaran menghasilkan pengeluaran perikanan negara bernilai RM6.3 bilion menjelang tahun 2010.
Projek yang sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 700 peserta dari golongan nelayan dan siswazah di 39 projek yang telah dikenal pasti itu dijangka memberikan pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan kepada peserta terlibat.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, projek yang dibangunkan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu bukan sahaja dapat mewujudkan peluang pekerjaan tetapi juga dijadikan sebagai sumber kekayaan baru kepada negara khususnya para peserta terlibat.
Katanya, projek ZIA merupakan kaedah baru yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu nelayan dan pengusaha yang pendapatan mereka tidak menentu supaya memperoleh sumber pendapatan sampingan berterusan.
‘‘Industri akuakultur akan dijadikan tonggak utama sektor perikanan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerana kita mahu pembangunan ekonomi komprehensif yang memberi peluang kepada semua pihak.
“Dengan menggunakan pendekatan baru sebegini, ia dapat dijadikan sumber pendapatan kepada masyarakat luar bandar, justeru ia wajar dilaksanakan untuk meningkatkan lagi nilai pertanian, nilai kerja-kerja berkaitan pertanian dan hasil-hasil pertanian,” katanya pada majlis itu di Sekolah Kebangsaan Tapah di sini.
Selepas majlis itu, Perdana Menteri melawat projek ZIA Sungai Como di Tasik Kenyir melibatkan kawasan kira-kira 3,000 hektar termasuk 2,800 hektar kawasan perairan yang akan dibina dengan 6,000 unit sangkar bernilai RM50 juta melibatkan 240 peserta sepanjang pembangunannya sehingga 2010.
Menurut Perdana Menteri, dengan tumpuan besar yang diberikan terhadap projek berkenaan, industri pertanian berasaskan akuakultur mampu menarik minat golongan siswazah untuk menyertainya.
‘‘Dengan transformasi sektor pertanian ini, saya harap industri berkenaan akan menjadi pilihan pertama anak-anak muda lulusan universiti untuk menjadi usahawan akuakultur dan membangunkan industri kecil dan sederhana berasaskan pertanian,” ujarnya.
Beliau berharap para peserta memberikan perhatian sepenuhnya terhadap peraturan dan nasihat yang diberikan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan projek itu benar-benar mencapai matlamatnya.
Abdullah turut menggesa pihak swasta supaya terlibat secara serius dalam bidang perikanan terutama berkaitan pemasaran dan mengeksport hasil akuakultur bagi memastikan hasil ternakan pengusaha negara ini mendapat pasaran di luar negara.
“Penglibatan sektor swasta amat penting, (untuk mengeksport) hasil-hasil ikan atau yang ada hubung kait dengan perikanan. (Hasil ikan) Ini bukan hanya dijual di pasar-pasar tempatan sahaja dan jika ikan ini dieksport, hasil pendapatan rakyat juga bertambah,” ujarnya.
Pada sidang akhbar selepas itu, beliau berkata, ZIA merupakan projek yang mempunyai impak besar dari segi pekerjaan, memberikan pendapatan tinggi kepada peserta selain mewujudkan peluang perusahaan baru dalam sektor perikanan.
‘‘Tahun 2010 bukan lama lagi. Ia satu projek menambah nilai. Usaha yang berskala komersial dan dengan itu boleh menghasilkan pendapatan baru (kepada) siswazah, nelayan dan kumpulan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.
Abdullah berkata, sekiranya projek berimpak besar ZIA itu diberikan tumpuan serius, ia akan menjadi salah satu projek yang boleh membawa perubahan besar kepada pembangunan ekonomi negara.