Tuesday, November 14, 2006

Udang Harimau

Penglibatan usahawan Melayu dalam ternakan udang berskala komersial pada masa ini masih lagi berkurangan dan lebih jelas lagi kalau dikatakan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan usahawan bukan bumiputera.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama agensi di bawahnya menggembleng peladang bumiputera bagi menarik minat kaum Melayu terus menceburi bidang pertanian, ternakan dan ternakair dengan menyediakan berbagai kemudahan dan insentif yang mampu memberi pulangan lumayan.
Menyedari berbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan, mendorong minat anak muda Encik Zulkifli bin Idris yang berusia 28 tahun pada ketika itu mula berjinak dalam mempelajari selok belok menternak udang harimau yang begitu popular dilaksanakan oleh PPK Sg.Chenaam, Pulau Pinang pada tahun 1999. Beliau yang kini telah berumah tangga dan mempunyai dua orang cahayamata melibatkan diri sepenuh masa dalam aktiviti penternakan udang.
Pengalaman selama tiga tahun dalam ternakan udang harimau banyak membantu dan membolehkan beliau meneruskan usahanya dalam menerokai projek baru iaitu industri ternakan udang putih di atas tapak yang sama. Usaha ini mula dilaksanakan diawal tahun 2002 dengan sokongan keluarga dan bantuan serta bimbingan PPK Sg. Chenaam.
Peringkat permulaan beliau hanya membuat kerja baik pulih dan mengubahsuai dua buah kolam yang sedia ada. Setiap satu kolam yang berukuran 0.4 hingga 0.5 hektar mampu menampung 500,000 ekor anak benih udang setiap kolam sepusingan. Setahun, setiap kolam boleh menjalankan dua pusingan penternakan.
Menurut beliau projek ternakan udang putih ini jauh lebih mudah berbanding udang harimau, di mana risiko penyakit dan peratus kematian agak rendah. Udang putih ini dikatakan mempunyai daya tahan penyakit yang lebih baik disebabkan ia gemar berada di pertengahan paras air kolam.
Memandangkan percubaan awal memberi pulangan dan menghasilkan pendapatan lumayan, usaha ini terus dikembangkan. Sehingga kini beliau mempunyai empat buah kolam yang diusahakan sepenuh masa dengan ternakan udang putih di mana setiap kolam dapat menghasilkan 3 – 4 tan udang sepusingan dengan purata jualan RM 10,000 / tan. Kesemua kolam ini diusahakan di kawasan tanah seluas lima hektar.
Pada peringkat permulaan beliau menghadapi pelbagai masalah dalam pasaran udang putih. Pengalaman semasa menternak udang harimau banyak mengajar beliau menjadi lebih bijak mengatur strategi pemasaran untuk mendapatkan harga tinggi dipasaran. Udang putih mula dipasarkan apabila mencapai umur 90 - 120 hari. Pemunggutan hasil dilakukan empat kali secara berperingkat-peringkat bertujuan untuk mengurangkan kepadatan dan meningkatkan pembesaran udang ketahap maksimum. Hasil udang akan dijual secara runcit atau borong di pasaran tempatan pada harga RM10.00 -RM13.00/kg.
Bagi beliau berada di kolam udang setiap hari amat menyeronokan, prinsipnya mudah saja “bekerja sendiri, rajin dan tidak kenal erti jemu” itulah kata hikmat yang membawa kejayaan usahawan muda ini. Tugas dari awal pagi hingga ke malam sudah menjadi perkara biasa dalam menjalankan kerja rutin mengikut jadual yang dilakukan sebanyak empat kali sehari.
Menurut beliau, jika udang diberi makanan yang mencukupi dan bersesuaian akan cepat membesar, sihat dan berkualiti. Kerja merawat kolam dengan ubatan yang tertentu dapat memastikan udang tidak dijangkiti penyakit.
Pemeriksaan terhadap bekas (tray) makanan dilakukan bagi menentukan peratus udang hidup. Sementara itu peralatan seperti paddle wheel perlu diperiksa agar sentiasa berfungsi selama 20 jam sehari untuk meningkatkan tahap keperluan oksigen yang tinggi. Bagi beliau, setiap kerja perlu dirancang terlebih dahulu dan tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan.
Menurut Zulkifli, kejayaan beliau adalah hasil kerjasama dari semua pihak yang telah membantu dan membimbing beliau melalui kursus dan latihan di Lembaga Pertubuhan Peladang, PPK Sungai Chenaam, Jabatan Perikanan dan Pergerakan Belia 4B serta sokongan bantuan kredit sebagai modal pusingan. Bagi beliau, untuk menjadi seorang usahawan bukan semudah yang disangka. Sehingga kini beliau masih lagi berhadapan dengan pelbagai seperti masalah bekalan dan harga diesel yang tinggi. Kos penyelenggaraan yang semakin meningkat juga mempengaruhi pulangan terhadap projek ternakan udang putih.
Beliau juga berpandangan jauh. Baginya permintaan pasaran udang putih ini tidak akan mencukupi. Oleh itu, beliau berharap akan dapat mengembangkan lagi projek ini walaupun amat mencabar dan memerlukan sumber modal besar. Beliau juga menyeru agar lebih ramai usahawan Melayu tampil menceburi projek ini yang terbukti memberi pulangan menguntungkan.
Perbincangan terhadap projek penting bagi memastikan ia berjalan lancar.