Bidang pertanian seperti ternakair memerlukan modal permulaan yang besar. Walaupun mempunyai modal yang mencukupi sesuatu projek ternakair tidak akan berjaya diusahakan tanpa semangat dan usaha gigih.
Bagi Encik Najeemuddin @ Salim Haji Ibrahim, 33 tahun, usaha dan sokongan kewangan serta kebijaksanaan membuat keputusan membolehkan sesuatu projek pertanian berdaya maju. Kita mungkin berjaya dalam menguruskan projek yang ada sehingga mengeluarkan hasil tetapi selalu lupa tentang strategi pemasaran. Tanpa strategi pemasaran yang tepat kita akan mengalami kerugian berganda.
Beliau yang telah beristeri dan mempunyai dua orang anak merupakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Batu Pahat Utara. Setelah tiga tahun mengusahakan ternakan udang harimau, beliau yakin setiap orang pasti akan berjaya jika berusaha bersungguhsungguh di samping mempelajari sesuatu yang baru dalam penambahbaikan projek.
Menceritakan penglibatan awal dalam ternakan udang harimau, minat timbul setelah beliau memiliki tanah seluas 9.2 hektar di Kampung Telok Bakong, Sungai Kajang berdekatan muara sungai Batu Pahat. Pada pandangan beliau tanah yang dikelilingi hutan paya bakau dan berdekatan
laut ini amat sesuai jika diusahakan dengan ternakan udang harimau.
Menyedari usaha tersebut akan memberi keuntungan, berbekalkan modal sendiri beliau mula mengusahakannya pada tahun 2001 dengan pembinaan 5 buah kolamdisebahagian tanah tersebut dan pada awal tahun 2002 ternakan udang dimulakan. Menurutnya sebelum memulakan ternakan udang harimau, beliau terlebih dahulu menjalani kursus ternakan udang anjuran Jabatan Perikanan Negeri Johor.
“Kita perlu mencari idea dan belajar daripada apa yang kita lakukan untuk penambahbaikan agar ia memberi keuntungan yang lebih tinggi. Selain itu kita jangan terlalu cepat mencuba sesuatu yang baru tanpa memikirkan terlebih dahulu kesesuaian terhadap persekitaran seperti cuaca dan keadaan tapak projek”, kata beliau.
Menurut beliau lagi dalam mengusahakan ternakan udang harimau, teknologi diperolehi dari Thailand dan telah diubahsuai menggunakan Sistem Tertutup. Melalui teknologi ini air akan dimasukkan ke kolam, kemudian dicampurkan bakteria bertujuan menggalakkan pertumbuhan plankton. Langkah ini akan diulangi setiap
Penggunaan sistem gear untuk paddle wheel dapat menjimatkan kos dan memastikan udang mendapat bekalan oksigen secukupnya.
pusingan dengan melihat tahap kandungan plankton dalam kolam.
“Untuk pusingan seterusnya, kandungan plankton dalam kolam perlu dikenalpasti terlebih dulu. Jika air kelihatan hijau berbuih, kandungan plankton masih tinggi maka paras air kolam akan ditambah dan dicampur bakteria. Plankton yang mati akan menunjukkan tanda lapisan lumpur dipermukaan kolam dikenali sebagai “lap-lap” iaitu sejenis asid. Pada tahap ini air akan dibuang dan kolam dicuci bagi menghilangkan lapisan Lumpur atau lap-lap” tambah beliau.
Dalam memastikan kerja-kerja berjalan lancar Najeemuddin menggaji empat orang pekerja dari Thailand yang berpengalaman luas dalam ternakan udang harimau. Beliau turut mendapatkan perkhidmatan pakar dari Thailand dan perunding dari Banting, Selangor. Kerja-kerja rutin yang dilakukan pada sebelah pagi adalah memeriksa kandungan PH air dan memastikan sentiasa berada pada bacaan 7.5 – 8.0 dan memberi makan udang sebanyak tiga kali mengikut masa yang ditetapkan dan diulangi pada sebelah petang.
Pemilihan makanan mesti bersesuaian dengan tumbesaran udang. Makanan udang terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu:
i. Makanan No. 1 untuk peringkat permulaan atau selepas benih udang dimasukkan ke kolam.
ii. Makanan No. 2 bagi udang semasa peringkat peralihan anak kedewasa. Bakteriadigunakan untukmembiakkanplankton.
iii. Makanan No. 3 untuk udang dalam peringkat pembesaran.
iv. Makanan No. 4 bagi udang padaperingkat matang.Setiap peringkat makanan udang di atas boleh diperolehi dalam dua gred utama di mana bagi gred pertama berharga RM380/metrik tan dan gred kedua RM350/metrik tan.
Menerangkan tentang penambahbaikan yang dibuat dan difikirkan sesuai adalah sistem paddle wheel. Kebiasaannya paddle wheel menggunakan dua kipas dan ditempatkan sekeliling kolam bagi membekalkan oksigen kepada udang. Setelah diubahsuai menggunakan gear box, paddle wheel dengan 10 kipas setiap satu akan diletakkan di tengah kolam dan disambungkan pada motor. Kaedah ini dapat mengurangkan kos peralatan dan kerosakan kerana motor yang digunakan terletak di tepi kolam untuk mengelakkannya terkena air.
“Bekalan makanan, ubat-ubatan dan alat ganti peralatan yang rosak saya dapat dari Thailand kerana kosnya murah berbanding di Malaysia. Hanya bekalan benih udang sahaja diperolehi dari Pulau Pinang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Terengganu kerana benih udang dari Thailand mengalami sekatan tertentu. Di samping itu udang yang diternak saya beri makanan tambahan mengandungi vitamin C bagi mempercepatkan tumbesaran dan menjamin kualiti.
“Udang boleh dipasarkan apabila mencapai umur empat bulan atau 40 ekor/kg. Kaedah pemasaran yang saya jalankan adalah jual mati kerana ini menjimatkan masa dan tenaga. Udang yang diperolehi saya pasarkan kepada pemborong di negeri Perak dengan harga sekitar RM24.00/kg. Walaupun Johor berhampiran negara Singapura tetapi pasaran di sana mengutamakan udang hidup. Satu kolam purata saya dapat tiga metrik tan dan sehingga kini tiga pusingan telah saya usahakan”, ujar beliau lagi.
“Orang akan kata kita bohong kalau tidak mempunyai masalah, bagi saya masalah utama yang saya hadapi ialah ketiadaan kemudahan makmal bagi memperolehi keputusan mengenai kandungan plankton, asid dan penyakit dengan segera. Selama ini segala masalah yang timbul akan saya rujuk kepada pakar dari Thailand dan
biasanya keputusan yang diperolehi mengambil masa.
“Selain itu masalah modal pusingan membeli makanan juga saya hadapi terutama semasa udang sedang membesar. Pada masa ini dengan sokongan PPK saya ada memperolehi pinjaman daripada Lembaga Pertubuhan Peladang melalui Skim Pembangunan Usahawan sebanyak RM20,000”, kata Najeemuddin.
Bercakap mengenai harapan masa depan, beliau ingin mengusahakan ternakan ikan dalam kolam dan membuka restoran makanan laut di atas tanah sedia ada melalui Syarikat Najee Brothers Sdn. Bhd. yang baru ditubuhkan.
Bagi mencapai transformasi dalam bidang pertanian pelbagai teknologi baru diperkenalkan bertujuan meningkatkan hasil. Bidang pertanian dalam kategori tanaman, ternakan dan ternakair telah banyak mengalami perubahan.