Monday, October 02, 2006

Industri akuakultur di Malaysia

Ikan untuk keperluan manusia dan haiwan hampir keseluruhannya ditangkap dari laut. Walaupun industri perikanan semakin maju dengan penggunaan teknologi dan kaedah-kaedah baru yang canggih tetapi satu perkara masih tidak berubah iaitu penangkapan ikan dari habitat asal mereka. Akhir-akhir ini pelbagai masalah telah melanda industri perikanan. Antaranya adalah penangkapan berlebihan yang melanggar undang-undang yang menghadkan penangkapan, sistem kuota serta larangan penangkapan spesis tertentu. Selain itu masalah pencemaran air samada daripada pembuangan sisa toksik dari kilang, tumpahan minyak atau racun serangga dan rumpai juga telah menggugat industri perikanan dan akuakultur.Akuakultur bukanlah penyelesaian kepada masalah industri perikanan. Ia adalah salah satu cara untuk menampungi bekalan makanan dari laut. Definasi akuakultur bermaksud menternak spesis hidupan (haiwan dan tumbuhan) air tawar, air payau atau air masin di dalam persekitaran yang terkawal. Selain itu, akuakultur juga merangkumi segala aktiviti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran produk hidupan air. Matlamat utamanya adalah:1. Untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ternakan dan,2. Untuk menggunakan sepenuhnya sumber tanah dan perairan yang sedia ada.Sejarah akuakultur di Malaysia bermula sejak 1930an yang dilakukan secara kecil-kecilan. Industri ini mula berkembang pada sekitar tahun 1970an terutamanya dalam ternakan udang, kerang dan ikan (termasuk ikan hiasan) yang kini menjadi industri komersil yang menjanjikan pulangan lumayan. Menurut perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia, di seluruh negara terdapat kawasan perairan tasik dan empangan seluas 89,260 hektar yang boleh digunakan untuk ternakan dalam sangkar, manakala kawasan tanah seluas 30,000 ha untuk ternakan kolam. Di samping itu, seluas 3,000 hektar lagi di Tasik Kenyir telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk tujuan akuakultur.Antara kawasan-kawasan yang boleh dimajukan untuk akuakultur adalah tasik, bekas lombong, empangan, kolam, konkrit, muara sungai dan laut serta akuarium. Manakala spesis-spesis ternakan pula (berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perikanan Malaysia) adalah seperti tilapia, keli, baung, patin, temoleh, jelawat, lampam, karp, haruan, udang galah dan ikan hiasan untuk perairan air tawar dan kerapu, siakap, jenahak, udang harimau, tiram dan siput sudu untuk perairan air payau dan laut.